Monday, October 10, 2016

NUR SHAMIZAH AINNA BINTI MUHAMMAD ESHAM A152346



REFLEKSI ILMU KETAMADUNAN
Senaraikan 10 cara supaya Tamadun Malaysia akan bertahan lebih lama daripada keruntuhan akibat globalisasi dan lain-lain faktor.

1.      Kestabilan politik dan pemerintahan
2.      Kewibawaan dan sifat dinamis pemimpin
3.      Pembangunan minda dan etika dalam kalangan rakyat
4.      Kemantapan ekonomi
5.      Penguasaan bidang ilmu pengetahuan
6.      Ketinggian nilai nilai murni dan peradaban
7.      Rangsangan keagamaan dalam kehidupan
8.      Penerokaan bidang sains dan teknologi
9.      Hubungan diplomat dan toleransi dengan tamadun lain
10.  Sistem kehakiman dan perundangan yang adil serta saksama


DAYA PERSEPSI
Di kalangan sebahagian media Barat cuba menonjolkan Islam adalah agama keganasan dan dikaitkan dengan perkataan Jihad. Berdasarkan temuduga kamu berkaitan hal ini dengan pelbagai etnik dari rakan2 kamu di UKM. Apa pandangan orang Cina di Malaysia? Apa pandangan orang Melayu di Malaysia? Apa pandangan bangsa2 lain di Malaysia?

Sejak berlakunya peristiwa 11 September, perbincangan tentang keganasan ekstremis Islam serta hubung kaitnya dengan istilah jihad sering mendapat liputan media. Dunia mula melihat punca berlakunya keganasan, cara menangani isu tersebut, kaedah-kaedah pencegahan dan sebagainya. Ada sebahagian yang menunjukkan keraguan terhadap peristiwa 11 September tersebut bahawa bukan semata-mata melibatkan ekstremis Islam, tetapi disebabkan paparan media yang dibuat secara tidak menyeluruh. Hal ini secara tidak langsung telah memberikan impak kepada persepsi pelbagai kaum–kaum di Malaysia terhadap komuniti Muslim. Pandangan-pandangan dari Barat yang kebanyakannya negatif, dengan bantuan media-media gergasi serta paparan-paparan keganasan yang disalah ertikan bagi agenda memburukkan imej agama Islam telah mempengaruhi pemikiran masyarakat di Malaysia.

Rata-rata, mereka yang ditemuramah memberikan maklumbalas tentang pemahaman istilah jihad dalam konteks yang tidak begitu holistik. Mereka mengatakan jihad sebagai perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air dan diperlihatkan di medan perang di mana orang Islam mempertaruhkan jiwa dan raga demi agama. Perkara ini tidak boleh dipersalahkan seandainya mereka membuat rumusan and pandangan berdasarkan maklumat yang ditonjolkan oleh media massa Barat, yang begitu giat memburukkan imei Islam dengan propaganda yang sistematik, halus dan terancang dan juga jika media massa tempatan tidak begitu aktif memberi penerangan yang jelas dan menyeluruh seterusnya membolehkan rakyat Malaysia mendapat informasi yang tetap berkaitan hal ini. Walaupun begitu, hasil temuramah dengan kaum Cina dan India di UKM dapat disimpulkan bahawa mereka rasa sangat  bertuah kerana  tidak ada keganasan yang sedemikian meskipun agama Islam diangkat sebagai agama rasmi negara, dan rakyat berbilang kaum dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni. 

Hakikatnya, konsep jihad mempunyai skop yang luas dalam Islam dan boleh diterjemahkan dalam usaha mencari ilmu dunia dan akhirat, melawan hawa nafsu dan  mempertahankan maruah diri. Jihad bukanlah dengan cara meletupkan diri  semata-mata tetapi dengan pengorbanan harta benda, wang ringgit, kekuatan fizikal bahkan buah fikiran termasuk dalam sumbangan jihad seperti yang dilakukan para sahabat dalam peristiwa Hijrah dan Perang Tabuk. Konsep ini yang tidak diketengahkan oleh media Barat telah menimbulkan pandangan serong terhadap Islam dan konsep jihad itu sendiri. Keganasan sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan ajaran Islam kerana isu keganasan merentas batasan agama dan kaum.  Terdapat penganut agama lain juga melakukan keganasan, Iihat apa yang berlaku di Palestin dan juga holocaust yang dilakukan terhadap orang Yahudi oleh pihak Jerman.

Malaysia lantang mengkritik tindakan media barat yang melakukan tindak balas histerikal setiap kali berlaku insiden keganasan di dunia yang mendiskriminasi dan melabelkan golongan tertentu sebagai pengganas hanya berdasarkan agama dan kaum. Masyarakat dunia perlu menangani punca-punca asas keganasan seperti penindasan, ketidakadilan yang berterusan, penjajahan dan pencabulan hak asasi manusia yang melampau terhadap mereka yang ditindas. Yang penting ialah keperluan umat Islam di dunia dan khususnya di Malaysia mempamerkan amalan Islam yang sebenar di mata dunia. Malaysia sewajarnya menjadi negara yang menganjurkan kesederhanaan dalam semua aspek, serta mengutamakan rundingan diplomatik dalam pelaksanaan hubungan luar untuk menyelesaikan masalah bagi menangani isu Islamphobia yang dilanda dunia sekarang.


CIPTA PUISI TEMA KETEMADUNAN
Kamu seorang sasterawan negara dan dijemput mendeklamasikan satu puisibertemakan isu-isu ketamadunan samada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Tuliskan puisi tersebut hanya 10-15 baris sahaja.

Demi cinta bersemi ketemadunan hakiki
Kasih pada keharmonian yang tiada bertepi
Melangkah maju tanpa gentar
Mencipta wawasan tiada gegar
Menghayun tubuh penuh jiwa
Mengatur langkah sederap seirama, seia sekata

Kini mendepani generasi alaf baru
Ajar dan perdengarkan perjuangan silam
Jangan sampai terdampar sirna
Usah dikejar kemajuan semata
Maruah, nilai diri  
Integriti dan kesaksamaan
tetap jua menuntut kerohanian atma
Ini perjuangan nirmala
Perjuangan atas nama tamadun



KEPELBAGAIAN DALAM KESATUAN
Dalam mana-mana tamadun, mesti ada perbezaan pendapat dan pelbagai parti politik demi kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Dalam keadaan bagaimanakah semua orang mesti bersatu semula demi masa depan tamadun? Diskus dengan rakan-rakan anda

Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang terdiri daripada rakyatnya yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, India, Cina, dan bumiputera lain yang wujud di Sabah dan Sarawak. Justeru, kepelbagaian dan variasi latar belakang ini secara langsung ataupun tidak langsung ini tidak dapat dinafikan melahirkan individu yang berbeza antara satu sama lain dari sudut pandangan mahupun fahaman politik. Namun begitu, persolannya di sini sejauh manakah isu perbezaan ini menjadi kekangan dalam membentuk kesepaduan dan kesatuan demi masa depan tamadun? Adakah isu ini harus dipandang enteng dan seterusnya mengakibatkan krisis berpanjangan malah lebih teruk lagi netizen berpersepsi kesepaduan tidak akan dikecapi walupun pelbagai usaha dilakukan?

Setelah meneliti permasalahan ini secara mendalam, salah satu cara untuk membolehkan perbezaan pandangan dan haluan politik tidak menjadi penghalang untuk masyarakat adalah dengan mencari titik persamaan yang membawa kepada kebaikan bersama. Titik persamaan yang dimaksudkan ialah matlamat serta hasrat yang ingin digapai demi kemajuan dan keamanan tanah tumpah darah. Sudah semestinya kita tidak menginginkan kemakmuran dan keharmonian dipertaruhkan dek sifat egoistik mempertahankan hak kendiri. Lantaran itu, sifat toleransi dan hormat menghormati dalam memperjuangkan serta menyuarakan buah fikiran dan hak perlu diterapkan dalam setiap individu agar hasrat “kesepaduan dalam kepelbagaian” menjadi kenyataan.

Rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi dan pertelingkahan. Walaupun rakyat diberi hak kebebasan bersuara, mereka haruslah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang dapat merosakkan rasa muhibah dan perpaduan. Tambahan lagi, dewasa ini sejajar dengan kecanggihan teknologi, proses penyuaraan tentang pelbagai hal menjadi lebih mudah melalui internet, sms dan pelbagai saluran data siber, lebih memudahkan proses penyuaraan ini. Apatah lagi komentar dan kritik peribadi boleh disampaikan secara terbuka tanpa segan silu sehingga bertikam lidah dengan rentetan kritikan dan menimbulkan kekecohan dalam media.

Dalam konteks politik, perjuangan parti sewajarnya mengutamakan kepentingan dan nilai universal dan bukanlah berteraskan perkauman. Hal ini membolehkan rakyat berpoliltik secara lebih matang dan kritis. Prinsip perkongsian kuasa dan permuafakatan wajar dijadikan tonggak untuk memastikan kestabilan dan keamanan negara. Untuk menjamin kejayaan perkongsian kuasa ini, barisan pemimpin yang dipilih dituntut untuk sentiasa berinteraksi serta peka terhadap sebarang pandangan atau isu yang diutarakan oleh kelompok yang diwakili di peringkat akar umbi. Segala permasalahan yang diutarakan, seterusnya diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar oleh kerajaan yang memerintah. Pemimpin ini kemudiannya perlu memainkan peranan dalam memberi penerangan terhadap sebarang kekeliruan yang timbul. Melalui interaksi ini, keharmonian perhubungan dalam kalangan golongan memerintah dan diperintah dapat dijaga.

Intihanya, Rakyat Malaysia yang mempunyai pandangan dan latar belakang politik yang berbeza perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat iaitu membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni bagi memudahkan pelaksanaan pembangunan negara. Kematangan rakyat serta penyelesaian melalui perundingan dalam pelbagai cara dan bentuk dalam menangani sebarang konflik dan pergeseran yang timbul disebabkan pertelingkahan yang timbul kerana perbezaan sosial merupakan keadaan yang perlu diwujudkan agar semua pihak dapat bersatu padu demi masa depan tamadun. Walaupun tidak semua cabaran, rasa ketidakpuasan puas hati dan potensi konflik terselesai, namun keadaan terkawal dapat dipastikan kerana anggota masyarakat amnya menolak keganasan dan persengketaan sebaliknya sentiasa mengutamakan rundingan dan kompromi.


No comments:

Post a Comment